Pages

RSS

Selamat Datang ke Blog Saya
Harap anda 'pening' membacanya.

Tuesday, December 16, 2008

Kamu Sentiasa Layak Diuji

December 5th, 2008 by Abu Saif 4,758 Views

“Mak kambing, maafkan saya. Saya nak ambil anak makcik untuk buat rendang ya!” pinta seorang pengusaha ternakan kambing kepada seekor kambing betina tua, yang terpinga-pinga.
Perlukah beliau meminta izin si emak untuk menyembelih si anak?
Tidak perlu.

Hakikatnya, emak kambing, ayah kambing, anak kambing dan seluruh ahli keluarganya adalah milik pengusaha ternakan kambing tersebut. Mahu diambil si emak, mahu diambil si anak, kuasa mutlak ada padanya.

Namun kerana ihsan yang ada pada diri, penternak kambing sentiasa mengambil si kambing dewasa untuk jualan dan sembelihan. Sesekali sahaja keadaan sebaliknya berlaku. Tiada pertikaian, kerana seluruh kandang itu milik dirinya. Manusia yang memberi makan, minum, penjagaan, rawatan, perlindungan dan segala yang diperlukan oleh si kambing untuk hidup sejahtera.

RUBUBIYYAH ALLAH

Ada apa di sebalik kisah kambing?
Ia cara mudah untuk memahami kesan mengimani Rububiyyah Allah.
“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari lang it dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?” [Yunus 10: 31]

Mengimani bahawa Allah sebagai RABB, bahawa Dia itu Pencipta alam, Pentadbir alam, Pengatur alam dan Pemilik alam… adalah sari pati pengertian iman kita kepada Rububiyyah Allah.

Rububiyyah bukan iman muqaddimah yang remeh. Ia adalah iman asas, tempat di mana terbina dan berpijaknya kehambaan kita kepada Allah SWT. Sepatutnya, kesan mengimani Rububiyyah Allah inilah yang membawa kita kepada perbuatan menghambakan diri kepada-Nya, menunaikan tuntutan-tuntutan Uluhiyyah Allah, sebagai Ilah dan Keutamaan Tertinggi dalam hidup ini.

Namun, Iman warisan yang tiada nilai pilihan, mungkin tercicir akan hakikat ini. Dalam keadaan manusia beribadah kepada Allah, jiwanya gagal berhubung dengan Rububiyyah Allah.
Justeru dalam ‘kesempurnaan’ ibadah dan ritualnya, dia terlupa akan hakikat diri sebagai HAMBA.

HAMBA YANG LUPA

Hamba yang lupa dirinya sebagai hamba, tidak bersedia untuk menerima ujian. Dalam taatnya, dengan segera dia melatah mempersoalkan kewajaran dirinya diuji.
“Apa salah anak saya. Mengapa dia yang mati, bukan saya!” kata-kata manusia yang terlupa.
Terlupa bahawa dirinya, anaknya dan seluruh ahli keluarganya, adalah milik mutlaq Allah, Pemilik mutlaq alam ini. Terikatkah Allah kepada peraturan kita bahawa anak yang sepatutnya menghantar ibu bapa ke kubur dan bukan sebaliknya?

AYAT-AYAT CINTA

“Oh, novel itu sangat bagus. Ia panduan bercinta menurut Islam,” komen gadis-gadis Islamik yang jatuh hati dengan novel Habiburrahman El Shirazy.
“Ceritanya indah sekali. Ana kepingin menjadi Fahri,” ulas seorang akh yang larut dalam kisah syahdu di bumi Kinanah itu.
Mana mungkin Habiburrahman El Shirazy menulis sebuah novel, hanya untuk membentangkan soal cinta!

Saya bukan seorang pembaca novel. Namun dek kerana gahnya karya Ayat-ayat Cinta ini, saya gagahkan jua membacanya. Sungguh luar biasa. Filemnya juga ditonton. Bukan sekali tetapi dua.
Tetapi saya tidak melihat novel itu kemuncaknya adalah cinta. Saya tidak jadi ‘mabuk cinta’ membaca bait Ayat-ayat Cinta. Sebaliknya jiwa saya remuk meneman Fahri ketika di dalam penjara, kerana di situlah mesej teragung yang sepatutnya diangkat sebagai muhasabah terbesar ke atas jiwa.

Sama ada rakan sepenjara Fahri itu adalah Profesor Abdur Rauf yang dinukil novel, atau lelaki gila tanpa nama di dalam filem, ungkapannya bagai panahan lintar menampar pipi Fahri, juga saya yang membacanya:
“Allah sedang berbicara kepadamu tentang SABAR dan IKHLAS… SABAR dan IKHLAS itulah Islam”

Ya… kesalahan Fahri adalah pada sangkaan dirinya, bahawa setelah hidup dalam ilmu dan ketaatan, beliau tidak wajar diuji. Beliau itu bersih, suci, bagai yang dimahukan oleh Allah. Apatah lagi ujian itu adalah pada sesuatu yang bertentangan dengan nilai hidupnya. Mana mungkin seorang yang begitu bersih dari menggauli manusia berlawanan jantina, tertuduh dengan sebusuk-busuk fitnah, merogol Nora?
“Apa salah saya kepada Allah???” soalan seorang manusia bernama Fahri, yang tertipu dengan dirinya sendiri.
“Istighfar! Allah sedang memberitahu kamu supaya jangan sombong! Ingat siapa diri kamu!” bicara waras seorang manusia gila.
Itulah beban Ayat-ayat Cinta, bahawa segala tentang Fahri adalah untuk mempotretkan seorang manusia yang sempurna pada ilmu, pada amal, pada ibadahnya kepada Dia. Tetapi ikhlas dan musuh ikhlas itu sulit. Sulit dan tersembunyi bagai semut hitam merayap di atas batu hitam pada malam yang hitam pekat.

MUSIBAH ITU ADA TUJUANNYA

Agar keikhlasan itu dapat dirasa, datanglah segala musibah untuk berbicara, dalam bentuk yang di luar bayangan dan jangkaan kita. Kerana kita manusia yang lupa, bahawa kita semua adalah hamba. Status yang menjadikan kita sentiasa layak untuk diuji, dan diperlakukan apa sahaja oleh Pemilik kita (dengan selautan hikmah). Masakan kita boleh terlupa bahawa sujudnya kita adalah kerana kita hamba, milik Dia?

Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita. Daripada seorang hamba yang kurang baik, kepada hamba yang lebih baik. Namun masih tetap seorang HAMBA.
Buruk sangka, tidak mencari ‘bicara Tuhan’ di sebalik musibah dan berantakan menyelaputi jiwa, binasalah kita sebinasa-binasanya.

Seorang lelaki yang baik, menjaga iman dan beramal soleh, difitnah berzina?

Seorang isteri yang baik, taat, melakukan segala kebaikan untuk kesempurnaan rumahtangga, dihadapkan dengan khianat suami bermain kayu tiga?

Seorang suami yang bertanggungjawab, melakukan kebaikan kepada rumahtangga tak berbelah jiwa, diuji dengan isteri dan anak-anak yang kufur nikmat bernafsu rakus meminta dunia?

Seorang anak yang datang dari sebuah keluarga bahagia, berdepan dengan keluarga mertua yang mengundang sengsara?

Seorang ibu dan seorang bapa, yang sangat menjaga hal ehwal pendidikan dan akhlaq anak-anak mereka, diuji dengan salah seorangnya menjadi pelesit menconteng arang ke muka?

Mengapa semua ini berlaku?

Itulah bicara Allah kepada kamu…

Kamu pernah mendakwa yang kamu menjaga pergaulan adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu mentaati suami dan menjaga keba jikannya adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu memelihara isteri dan anak-anak adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu menjadi anak yang baik adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa baahwa kamu menjadi ibu dan bapa yang melaksanakan segala tugasan dengan sempurna adalah KERANA DIA.

LUPA

Tetapi kamu terlupa.
Ketika kamu tidak bergaul bebas, menjaga hubungan, dan berakhlaq baik, kamu terlupa kepada Allah hingga menyangka yang kamu seharusnya menerima yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. Bukan cela, bukan hina. Lelaki baik harus lancar memiliki perempuan yang baik.
Ketika kamu mentaati suamimu, menjaga segala keperluannya, kamu terlupa kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa mencintai sama dengan memiliki, dicintai sama dengan dimiliki.
Tatkala kamu menjaga isteri dan anak-anakmu, kamu lupa kepada Allah hingga kamu sangka itu semua jasa, dan jasa mesti dibalas budi.

Ketika kamu menjadi anak soleh, kamu lupa kepada Dia dan kamu sangka kebaikanmu itu suatu jaminan. Mustahil anak yang baik dikeji manusia ibu dan manusia bapa, biar pun mereka hanya mertua.

Semasa kamu mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan, kamu lupa kepada Allah lalu mengharap kebaikanmu dikenang dan dibalas mereka, hingga terlupa niat kamu berkaitan Dia.

BAIK DAN MUKHLIS

Garis yang memisahkan di antara seorang manusia yang berlaku baik, dengan seorang manusia yang ikhlas dalam kebaikannya, amat tipis.
Justeru datanglah ujian yang tidak disangka-sangka, untuk menzahirkan keikhlasan itu.
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29: 2]

Maka lelaki soleh yang difitnah zina, maka isteri solehah yang dikhianati suami, maka suami soleh yang dikufuri isteri, maka anak soleh yang disakiti ibu bapa, baik kandung atau mertua, maka ibu bapa solehin yang dikecewakan anak oleh perlakuan buruknya, ketahuilah bahawa ALLAH sedang berbicara kepada kamu.

Bicara untuk menyedarkan kamu, bahawa hati harus puas kerana mengikhlaskan kehambaan kepada-Nya. Bahawa sebaik mana sekali pun ibadah kamu, tanpa JIWA HAMBA, segalanya tidak bermakna.

HAMBA sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki.

HAMBA sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji.

HAMBA sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk DIA.
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan tentang diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka. [Al-Hasyr 59: 19]

Kita sentiasa layak diuji…

Kerana kita adalah HAMBA.

Justeru hancurkanlah RASA MEMILIKI!

ABU SAIF
@ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Maaf Tanpa Syarat

“Beruntunglah si anak yatim,” saya berbual dengan seorang apprentice yang berkunjung ke rumah.
“Kenapa pula untung ustaz?” beliau nampak sedikit terkejut dengan kenyataan saya.
“Masakan tidak beruntung, derita hidup tidak beribu dan bapa, terlalu kecil berbanding hukuman Allah ke atas anak durhaka!” saya menjawab.
Beliau diam seketika.

“Maksud ustaz, lebih beruntung hidup tanpa ibu bapa?” tanyanya.
“Anak-anak beruntung ada ibu bapa. Tetapi ibu bapa belum tentu beruntung dikurniakan anak-anak. Hari ini ramai anak benci dengan ibu bapa sendiri,” saya menyambung perbualan.
Memang benar.

Saya sudah jadi mangli dengan fenomena anak durhaka. Anak yang memusuhi ibu bapa. Anak yang mengkritik ibu bapa. Anak yang menyakiti ibu bapa.
Tanda-tanda kiamat barangkali.

“Apabila seorang perempuan melahirkan tuannya sendiri” (Petikan Hadith ‘Jibril’)

BIBIT KEMARAHAN

Pengamatan saya, memperlihatkan bahawa anak-anak mula menimbulkan bibit benci atau sekurang-kurangnya tidak berpuas hati dengan ibu bapa sendiri, semasa mereka menempuh beberapa fasa kehidupan.
Seorang bapa, mungkin garangnya hingga tampar dan jentik menjadi makanan harian seorang anak. Di sepanjang masa, anak menerima hakikat bahawa bapanya adalah seorang yang garang. Lalu dia sentiasa berusaha untuk mengelak daripada ‘buat masalah’ dengan bapa yang garang itu.

Tetapi untuk membenci bapa, tidak terlintas di hati dan kepala.
Fasa pertama yang sering menimbulkan rasa benci serta marah anak kepada ibu bapa ialah apabila anak-anak mula meningkat usia, bersekolah dan memulakan tabiat berkunjung ke rumah kawan-kawan malah bermalam di sana. Pada usia inilah anak mula terdedah kepada contoh-contoh lain tentang bagaimana ’sepatutnya’ seorang yang bergelar ibu juga bapa. Anak-anak mula membandingkan ibu bapanya sendiri, dengan ibu bapa kawan.
Rasa takut terhadap kegarangan bapa dan ibu, mula berubah menjadi benci.

Fasa kedua pula ialah apabila berumahtangga.

Dalam sesetengah keadaan, ada ibu atau bapa yang melebihkan anak mereka sendiri berbanding menantu. Tetapi ramai juga menantu yang ‘bertuah’ mendapat mertua yang baik-baik, namun mereka mula secara tidak sedar menyemai suatu fikiran yang jelek bahawa ibu bapaku tidak sebaik mertua.

Perbandingan-perbandingan inilah yang menyemai bibit benci dan rasa tidak puas hati si anak kepada ibu bapa mereka sendiri.

SEBURUK MANA PUN MEREKA

Seburuk mana pun ibu bapa kita, janganlah sekali-kali kita lupa pada kebaikan mereka semasa kita belum ada upaya menyimpan ingatan. Kebaikan yang mungkin tidak pernah dianggap kebaikan oleh sesiapa kerana berlangsungnya ia tanpa dikenang.
Kita menumpang duduk 9 bulan di perut seorang perempuan. Alam itu digelar Alam ‘Rahim’. Alam kasih sayang dan alam belas kasihan. Jika tiada sekelumit sayang di naluri seorang ibu, nescaya dibuang sahaja isi perut itu di tandas, di longkang, di tong sampah atau di mana sahaja.
Kerana secebis belas dan ihsan itulah, kita lahir ke dunia.

Lupakah (memang tidak ingat), semasa kita kecil, kita menjerit sesuka hati, memalukan ibu bapa di tengah kenduri? Kita pecahkan pinggan orang, kita curi barang orang, kita kencing dan berak sesuka hati, kita demam tidak bermusim. Bukan kita seorang, malah adik beradik yang lain. Jika seorang ibu dan seorang bapa, tiada naluri kasih sayang, patah riuk tulang kita dikerjakan mereka. Penat bekerja, tidur entah di mana, bergolok gadai mencari bekal, apakah semuanya semata-mata untuk membesarkan seorang pembenci?
Kita ada ramai kawan, tetapi kita hanya ada seorang ibu dan seorang bapa. Busuk wangi, buruk dan baik, itulah ibu dan itulah bapa.

Pernah suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, memberitahunya bahawa ibu lelaki itu menyuruhnya mentalakkan sang isteri. Lalu Abu Darda’ berkata, aku telah mendengar bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:
“Ibu bapa adalah pintu Syurga yang paling tengah. Terserahlah kepada kamu sama ada mahu mensesia-siakan pintu itu atau memeliharanya” (Hadith sahih riwayat Ahmad, al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Biar pun sandaran dalil Abu Darda’ terhadap soalan lelaki tersebut kepada hadith ini ada perbahasan ulama’ mengenainya, namun persoalan yang terus kekal, Allah menyediakan pintu syurga bukan di tangan kawan yang paling kamceng, atau kekasih yang sejati itu.
Pintu masuk ke syurga yang paling utama, adalah pada memenuhi hubungan kita dengan ibu, juga dengan bapa.

SALAH IBU BAPA

Saya tidak nafikan, bahawa fenomena anak durhaka adalah produk dosa ibu bapa. Kesalahan ibu bapa merupakan faktor terbesar kepada keberhasilan anak durhaka. Malah sejak sekian lama, kita kaum Melayu sudah disedarkan bahawa Sazali adalah produk kesalahan si bapa menterjemahkan kasih sayang sebagai ‘beri semua yang anak inginkan’.
Memang malang di dunia ini bukan malang kerana tidak disayangi. Tetapi malang kerana gagal menyayangi. Sama ada tidak sayang kepada anak-anak, atau menyayangi mereka dengan cara yang salah.

Sudah terlalu biasa, ceramah saya tentang ibu bapa terpaksa diubah suai. Menekan-nekan akan kepentingan anak menghormati dan menjaga ibu bapa, menjadi sebuah sesi yang penuh penyeksaan, kepada si anak yang membenci ibu bapa. Kebanyakannya, adalah akibat sikap ibu bapa sendiri.

DI PIHAK ANAK-ANAK

Tetapi anak-anak perlu sedar.
Allah SWT tidak mewajibkan seorang anak untuk menyayangi ibu dan bapa!
Kasih sayang itu adalah perasaan yang mustahil boleh dipaksa tanpa asasnya. Mana mungkin seorang anak yang dibuang, diabai, disisih, dipinggir malah didera oleh ibu bapa, mampu untuk membuta tuli memaksa diri menyayangi orang yang tidak menyayangi mereka.
Sebaliknya Allah SWT meletakkan kewajipan kita sebagai anak-anak, adalah pada berlaku ihsan, berbuat baik dan menghormati ibu bapa. Ia bukan balasan kebaikan ibu bapa kepada kita, tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai anak, biar bagaimana sekali pun si ibu dan si bapa.

Baik kejam seorang bapa.

Biar cuai seorang ibu.

Mahu pun busuk seorang bapa.

Biar kafir atau sundal sekali pun seorang ibu.

Bukan anak yang bertindak menghukum mereka.

Segala dosa ibu bapa, kecuaian mereka, dan serba serbi kesalahan dan kekurangan mereka, ibu
bapa itulah yang akan bersoal jawab dengan Allah tentang tanggungjawab dan peranan mereka terhadap kita.

Namun bagi seorang anak, tugas kita adalah untuk tetap menghormati, menjaga kebajikan, memelihara dan memenuhi keperluan mereka tatkala mereka dalam hajat yang diwajarkan Syariat.

Jika dunia ini hanya ada anak dan ibu bapa, mungkin kitaran ini tidak dapat berhenti. Ibu bapa jahat menzalimi anak. Si anak juga jahat dengan membalas dendam kepada anak-anak. Kerana itu titik memahami isu ini ialah dengan kembali merujuk kepada DIA. Kepada Allah yang menjadikan mati dan hidup ini sebagai ujian.

Kita memohon keampunan dari Allah dengan mendoakan keampunan untuk ibu bapa. Tujuannya adalah berbalik kepada CINTA TANPA SYARAT. Sebagaimana ibu bapa mengasihi kita tanpa syarat, begitulah kita memohon agar dikasihani Allah ke atas diri ini TANPA SYARAT. Namun bagi ibu bapa yang gagal mengasihi si anak, kita harus berbalik merujuk kepada Allah. Kitalah pula yang mesti memberi MAAF TANPA SYARAT sebagaimana Allah boleh mengampunkan kita tanpa syarat. Jika sikap kita yang sempit jiwa untuk menguzurkan kekurangan ibu bapa, yakinilah bahawa Allah jua sulit untuk menguzurkan kekurangan kita (yang tidak terbilang itu).

Menghormati mereka, cukup dengan tidak membalas ‘kejahatan’ mereka dengan ‘kejahatan’ kita. Sedang kita pun banyak berbuat jahat kepada Allah, namun Allah sentiasa Maha Tahu cara untuk ‘berbuat baik’ dengan kita. Bagaimana kita boleh mendamba keampunan Allah tanpa syarat, sedangkan kita ghairah meletakkan pelbagai syarat, terhadap ibu bapa sendiri?

ANDAI TIADA KASIH DAN SAYANG

Kewajipan si anak adalah pada mengekalkan perlakuan baik terhadap ibu bapanya. Bukan bergantung kepada layanan ibu bapanya dahulu, tetapi ialah adalah tanggungjawab anak sebagai seorang anak yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Untuk menyayangi ibu bapa, terpulang kepada anda.

Namun…

Melaksanakan kewajipan tanpa nilai dan kasih sayang adalah suatu beban. Berat tanggungjawab tanpa kasih sayang, adalah maksud malangnya diri yang gagal menyayangi.
Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “apakah perihalnya kamu ini?”
Perempuan itu menjawab, “yang kudukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku”
Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya”
Perempuan itu membalas, “tidak ya Amir al-Mu’minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”
Binasalah si anak yang lupakan peringatan ini!

Artikel ini wajar dibaca bersama tulisan saya bertajuk CINTA TANPA SYARAT

ABU SAIF
@ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Cinta Tanpa Syarat

May 12th, 2008 by Abu Saif 22,339 Views

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Israa’ 17: 24)

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.
Itulah doa saya sebentar tadi, semasa bersolat zohor.

Entah kenapa, tiba-tiba hati saya terlalu tersentuh dengan doa tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali saya membaca doa yang sama. Adakah kerana rindu saya terhadap ayahanda yang sudah masuk 14 tahun meninggalkan kami. Ya, saya rindukannya, terutamanya ketika hidup saya diasak dengan pelbagai cabaran, dan saya rindukan tangan ayahanda yang sering menepuk bahu agar masalah saya mengecil dan pergi oleh senyumannya.

Apakah saya terharu kerana saya rindukan bonda di kampung. Kampung yang sunyi, bersama teman-teman berbualnya yang pulang ke pangkuan Ilahi, seorang demi seorang. Bonda memang kesepian, hanya panggilan telefon dari anak-anaknya sahajalah pengubat sunyi itu. Mujurlah bonda kuat membaca. Majalah I saya hantarkan setiap bulan, kulit ke kulit habis dibacanya. Tazkirah Untuk Orang Mengaji oleh Ustaz Sonharji, saya belikan dan cepat sekali bonda menghadamnya. Kata bonda, “jika sunyi dan tak buat apa-apa, kenalah baca buku. Kalau dibiarkan otak beku, nanti datang jemu dan nyanyuk, jadi pelupa dan kemudian susahlah anak-anak nak melayan orang tua yang begitu.”

Saya memang rindukan emak. Emak juga rindukan suaminya. Jika diselak langsir dapur, sayup-sayup kelihatan sepasang nisan pusara abah di tepi masjid sebelah rumah. Emak sering termenung di tingkap itu, merenung kisah silam mereka, dan kenangan manis membesarkan kami berlima. Arwah opah pernah berkata, “aku hairan tengok kamu berlima ni. Dari kecil sampai besar, tak pernah bergaduh. Walhal hero-hero belaka!” Saya juga terkenang, memang kami berlima hero-hero belaka. Semua adik beradik saya lelaki tetapi kami memang tidak pernah bergaduh.

Mungkin semua itu kerana watak abah. Dia menjadi tumpuan kami dan kami sentiasa bergelak ketawa hingga ke meja makan. Kami tiada masa untuk bergaduh kerana semua ketawa dan sedih kami adalah bersama abah. Namun selepas abah pergi mengejut oleh serangan jantung, keluarga kami sunyi hilang ketawa. Sepi..

Kucing-kucing belaan kami yang suka menjilat peluh abah semasa dia sakit terlantar, turut mati seekor demi seekor. Begitulah kami di rumah, tertumpu pada abah. Kini emak saya pula melayan sepi dan sunyi itu sendirian. Saya sangka, saya sukar menemankan emak kerana saya terhumban di hujung benua. Selepas lebih sedekad saya di luar negara, saya segera pulang ke kampung halaman. Namun selepas bekerja di KL, rupa-rupanya keadaan tidak banyak berubah. Saya masih sukar untuk balik ke kampung, akibat Kuala Lumpur dan kehidupan saya yang amat menekan masa.

Saya jatuh rindu dan saya mohon ampun dari Allah atas dosa saya membiarkan emak kesunyian di kampung.

Tetapi tengah hari tadi, saya tidak hiba kerana itu. Ada sesuatu yang lebih halus darinya. Mungkin sebentar tadi, buat kali pertamanya saya dapat merasakan apakah sebenarnya yang saya minta dari Allah, Tuhan yang telah memberikan seorang ibu dan bapa yang pengasih kepada saya.

Mengapakah apabila saya merintih keampunan dari Allah, saya kaitkan ia dengan kasih sayang bonda dan ayah semasa saya kecil?
Hari ini saya berusaha memikirkan jawapannya.
“Rizal minta maaf emak sebab susah sangat nak balik ke Ipoh. Kerja tak habis-habis. Lagi pun ada masanya Rizal cuti, tapi Muna pula yang kerja. Saif selalu menyebut tentang opahnya. Naurah pun dah makin besar. Imad pun dah pandai meniarap”, keluhan saya kepada emak beberapa ketika yang lalu.
“”Tak apa, mak pun minta maaf sebab jarang dapat ke Kuala Lumpur. Kaki mak ni asyik sakit, kepala pun berat. Tak seronok nak berjalan-jalan kalau begini. Datang rumah kamu pun nanti menyusahkan sahaja. Asalkan kamu ingat emak dalam doa, Alhamdulillah”, itulah suara dari hati emak.

Semasa berdoa tadi baru saya sedar, emak amat pemaaf. Dia memaafkan saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa. Paling menyerlah, pemaaf emak semasa saya kecil…
Saya pernah teringin untuk minum air sirap ros, tetapi patinya sudah habis. Semasa emak sibuk menanda buku latihan anak-anak muridnya, saya ke dapur dan cuba memasak gula di dalam periuk. Secawan gula dicampur dengan pewarna merah, dimasak di atas api. Saya baru darjah tiga dan tidak terfikir untuk menambah air. Akhirnya gula hangus dan beku, periuk berkerak dan hampir mustahil untuk dibersihkan. Kerana takut, saya simpan periuk itu di dalam kabinet dapur. Seminggu masa berlalu, apabila emak terjumpa periuk itu, dia tahu itu angkara saya. Dia tidak marah tetapi mencebikkan muka kesedihan.
“Emak tak marah?”, saya cuba memberanikan diri bertanya.
“Emak tak marah kamu cuba masak gula ni. Tapi emak sedih sebab kamu sorok periuk ni dalam kabinet”, itulah katanya.

Saya menangis kerana terasa bersalah cuba menipu emak dan dia dengan segera memujuk.
Saya pernah cuba membasuh kain sendiri, tetapi kerana lupa memasukkan getah ke bilik air, habis seluruh dapur banjir ditenggelami air sabun. Emak tidak marah.
Saya juga pernah berayun di buaian sambil berdiri walaupun ditegah. Apabila buaian terlalu laju, saya tercampak dan muka tersembam ke pasu bunga. Sampai ke hari ini saya masih dapat merasa tuam pasir panas di pipi yang sudah kebiru-biruan. Emak tidak marah.
Abah juga tiada bezanya. Dia tidak pernah memaksa saya membaca buku tetapi jika gagal mendapat tempat pertama, dia menepuk bahu saya sambil berkata, “nanti mainlah lagi ya. Jangan baca buku.”
Dia tidak marah tetapi saya sendiri yang rasa terseksa dan bersalah.
Saya pernah bergaduh dengan Pengetua di sekolah. “Maaf ustaz, kalau begitulah cakap ustaz, saya pun ‘tak hingin’ nak sekolah di sini!”, jiwa anak muda di Tingkatan 4 memberontak. Saya pulang ke asrama, mengemas beg baju dan langsung meninggalkan Negeri Sembilan untuk pulang ke kampung tanpa berfikir panjang.
Saya tiba di Ipoh selewat jam 11 malam. Abah amat terkejut dengan tindakan saya berhenti sekolah, tetapi dia tidak marah. Dia berikan saya wang RM50 sambil berkata, “ambil duit ni dan uruskan sendiri kamu nak bersekolah mana selepas ini”. Itu cara abah. Dia jarang sekali marah.
Emak dan abah amat mudah memaafkan saya. Tidak kira apa sahaja kerenah kami, mereka memaafkan kami seadanya. Mereka menerima kami sebagai anak-anak yang banyak kelemahan dan atas penerimaan itu, mereka mengasihi kami TANPA SYARAT.

Emak dan abah menerima saya atas segala yang ada pada diri ini. Saya taat atau degil, saya rajin dan saya culas, saya senyum atau saya menjerit, mereka menerima saya seadanya. Mereka terus menyayangi dan mengasihi saya tanpa syarat. Mereka tidak pernah memberitahu saya bahawa semua kebaikan yang mereka buat selama ini, mesti dibalas apabila kami telah dewasa. Kami balas atau tidak, kami ingat atau lupa, tugas mereka hanyalah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang, TANPA SYARAT.

Allah memberikan percikan sifat Rahman dan Rahim untuk makhluk-Nya mengasihi tanpa syarat, hanyalah pada naluri dan hati seorang ibu dan bapa kepada anaknya. Suami mengasihi isteri, sering mengharap balas. Isteri mengasihi suami, kerap juga ada sesuatu yang terselindung di sebaliknya. Apatah lagi jika hanya antara dua sahabat. Sukar untuk dipastikan tulus persahabatan mereka. Bolehkah seorang sahabat memaafkan sahabatnya tanpa syarat? Mungkin ada, tapi sering tiada.

Apa yang pasti, hanya ibu bapa sahaja yang mampu mengasihi anak-anaknya tanpa syarat. Sebab itulah anak-anak tidak mampu membalas kasih itu. Jika seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sanggup berjaga malam dan berdoa agar si anak sembuh dan dipanjangkan umur. Namun apabila tiba giliran anak menjaga ibu bapanya, mereka mungkin terus menjaga, tetapi hati mudah berkata, “bilalah orang tua ini nak mati!”. Ya Allah, lindungilah aku dari menjadi anak seperti itu.

Hati saya amat sedih melihat kaum Cina di KL berebut-rebut menghantar ibu dan bapa mereka ke wad kecemasan Hospital UKM sehari sebelum Tahun Baru Cina. Pesakit berumur 60 tahun (kalau tak silap saya) ke atas, rawatan di HUKM adalah percuma. Maka inilah cara mudah mereka untuk get rid ibu bapa mereka di musim perayaan. Kalau hantar ke rumah orang tua-tua, mahal pulak bayarannya. Allah Allah….
Saya masih ingat dialog ayah tengah hari itu. Dia baru sahaja pulang dari menunaikan Haji.
“Abah kat Mekah doa apa, abah?”, saya bertanya.
“Abah doa supaya Allah jangan panjangkan umur abah sampai nyanyuk. Takut anak-anak tak tahan. Takut kamu jadi anak durhaka!”, kata ayah saya sambil mata redupnya merenung saya yang terkelu lidah. “Abah, jangan cakap macam tu…”, saya sebak dan hanya mampu membiarkan air mata kering di pipi. Ayah pergi meninggalkan kami pada malam hari lahir saya yang ke-17, hanya setahun lebih selepas perbualan kami itu.
Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya kadang-kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda. Namun seorang ibu dan ayah, mampu menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya. Bukan setahun dua malah majoriti nyawa dan usia. Mereka mampu membelai, mereka mudah memaafkan kita, kerana mereka kasih dan cinta, dengan CINTA TANPA SYARAT.

Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak hisab, tanpa banyak syarat, sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku tanpa syarat, mengasihiku tanpa mengharapkan balasan.
Ampunkan jua mereka, dan limpahkan Rahmah-Mu kepada mereka. Mereka yang mengasihiku tanpa syarat, Kau maafkan mereka dan limpahkan Kasih-sayangMu kepada mereka, tanpa hisab dan syarat…
NAMUN…
Mungkinkah semua itu, Allah kurniakan kepada saya? Siapakah saya untuk meminta pengampunan yang terus tanpa syarat? Malah jika setiap detik hidup dalam sehari itu dihitung, terasa betapa dosa sahaja yang banyak berbekas. Sedangkan tanpa saya sedar saya banyak meletakkan syarat terhadap Allah. Aku ingat kepada-Mu, dengan syarat aku sudah hilang penyelesaian. Aku sanggup lakukan apa yang Engkau suruh, tetapi selepas aku melihat apa kebaikan yang aku dapat!
Hinanya diriku. Lupa sudah pada hakikat diri sebagai hamba. Hamba yang tidak layak meminta, apatah lagi untuk meletakkan syarat kepada Tuhannya. Astaghfirullah.
Menghitung hari, padanya terpalit pelbagai dosa. Paling kurang, setiap hari saya dibelenggu rasa terkilan dan berdosa kerana bonda kesunyian di kampung. Setelah pulang ke Malaysia, saya masih belum dapat menjaganya di depan mata.
Bayangkan, jika Allah mengampunkan kita dengan syarat, binasalah diri ini. Mampukah saya lepas segala syarat itu? Jika Allah syaratkan setiap solatku mesti khusyuk, apakah ada satu solatku yang sampai kepada apa yang Allah syaratkan itu?
Sesungguhnya tidak mungkin kita selamat dengan hanya melihat pada amalan. Melainkan Rahmat Allah itu jualah jawapannya. Dengan kasih sayang-Nya.
Tetapi Rahmat Allah bukan perkara kecil. Ia diminta dengan tawasul kita kepada sifat al-Wahhab Allah SWT. Saya baru mendengar kuliah 99 nama Allah tentang al-Wahhab dari Ustaz Kariman dan ia menambah hiba di hati saya.
Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha Memberi. Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di dalamnya lima sifat:
1. Memberi tanpa meminta apa-apa balasan. Allah, Tuhan yang al-Wahhab itu Maha Kaya, tidak perlu kepada Makhluk. Kerana itulah Allah SWT Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung perbendaharaan-Nya. Percikan sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih dan sayang. Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9 anak yang menyusul kemudian. Anak durhaka, menconteng arang ke muka, mereka masih terus memberi kasih sayang, kerana mereka beroleh kasih sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.
2. Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu Memberi dan tidak Marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam di usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adik kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi.
3. Memberi tanpa diminta. Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa diminta. Hitunglah pada pelbagai yang ada di sekeliling kita. Dia berikan kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita sahabat yang baik, tanpa kita minta dan jangka. Allah itu Maha Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan kepada naluri ibu dan bapa. Pelbagai keperluan dan hiasan hidup diberikan tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala, semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa diminta.
4. Memberi sesuatu yang amat berharga. Allah Dia yang al-Wahhab memberi dengan sifat itu perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat, satu maksiat dibalas binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya sendiri. Semuanya diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar. Cebis-cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita. Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua pasangan yang paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan mulia.
5. Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan. Allah jua dengan sifat al-Wahhab memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar dengan kebaikan itu kita sambut dengan syukur dan taat, berupa khidmat kepada sesama insan. Diberikan-Nya kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita berdakwah. Diberikan-Nya kita pelbagai yang baik, agar dengannya kita berbuat baik.
Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa kita. Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan itu jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana syarat Allah terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan kerdil seperti kita.
“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.
Peluk cium anakanda buat bonda yang mengasihiku atas hatinya yang begitu…

Ameen.

ABU SAIF @
http://www.saifulislam.com/
56000 Kuala Lumpur
12 Mei 2007