Gambar hiasan
“Hidup ibn Sedar… jumpa Tuhan tak jumpa agama”, itu terjemahan ringkas saya terhadap kisah seorang lelaki di zaman Andalus.
Namanya Hayy ibn Yaqdhan. Anak muda yang tercampak ke sebuah pulau asing, dan sejak kecil beliau membesar sendirian tanpa pernah bertemu dengan manusia lain. Ala-ala kisah Robinson Crusoe kurun ke-18.
Hayy ibn Yaqdhan tidak pernah tahu apa itu ‘agama’. Beliau membesar dengan belajar hukum alam di sekitarnya. Belajar mengajuk cakap binatang, belajar berkomunikasi dengan mereka dan dengan mematuhi hukum alam itu dia selamat.
Tetapi di dalam diri Hayy, ada suatu unsur kuat untuk dia melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Unsur untuk membolehkannya ‘berfikir’ tentang Kuasa Agung di sebalik semua material yang mengelilinginya. Semua ini tidak bermakna kecuali ia dihubungkan kepada Kuasa Agung itu.
Hayy terus menelah kehidupannya dan dia sampai kepada yakin, bahawa tiada kebahagiaan dalam hidup ini kecuali dengan bertafakur dan merenung Kuasa Agung itu, dialah Tuhan.
Hayy hidupnya begitu.
Dorongan fikir dan renungnya terhadap ‘Allah’ melalui mesej-Nya yang disampaikan melalui ciptaan Allah memaksa Hayy untuk dengan sendirinya tunduk rukuk, malah rebah sujud ke bumi. Terasa benar siapa dirinya, hingga tersungkur di depan Dia.
Segala-galanya berubah, apabila Hayy dikunjungi buat pertama kalinya oleh seorang lelaki dari ‘negeri bertamadun’. Lelaki itu bernama Absal.
“Manusia apakah ini yang hidup sendirian, bersalut bulu angsa untuk menyembunyikan anggota sulitnya?”, Absal terkejut melihat Hayy.
Setelah puas berusaha meyakinkan Hayy bahawa kedatangannya tidak membawa apa-apa maksud yang tidak baik, Absal dan Hayy bersahabat karib.
Pada renungan Hayy, biar pun Absal ini beragama dengan ‘agama itu’, cara Hayy bertafakkur dan berhubung dengan Tuhannya, selari dengan agama yang dianuti oleh si Absal. Namun, akhirnya mereka berdua akur bahawa ‘agama’ Hayy itu lebih asli berbanding amalan Absal yang hanya berorientasikan ritual semata. Atas kesepakatan ini, Absal membawa Hayy ke negerinya yang bertamadun itu untuk memperkenalkan ‘agama tulen’ si Hayy.
NOVEL
Kisah di atas bukan catatan sejarah. Hayy ibn Yaqdhan dan Absal hanyalah dua watak fiksyen. Ia merupakan kisah yang dikarang oleh seorang ahli falsafah Arab bernama Ibn Tufayl di negeri Andalusia, untuk mengkritik secara kiasan terhadap masyarakatnya ketika itu.
Ibn Tufayl tidak menyebut apakah agama si Absal yang dikatakan penuh ritual tanpa makna itu. Tetapi agamanya berteraskan sehimpun solat dalam sehari, berpuasa di bulan tertentu, memberi bantuan kepada si miskin dan ziarah ke tempat suci. Sebagaimana agama Hayy ibn Yaqdhan dipraktikkannya tanpa nama, Ibn Tufayl juga tidak menyebut secara jelas bahawa agama yang dikritiknya ketika itu adalah agama Islam yang diamalkan oleh penduduk Andalus.
Mengapa harus dikritik? Mari kita sambung perjalanan Hayy ibn Yaqdhan bersama Absal…
Hayy teruja.
Teruja melihat penduduk negeri Absal beribadah sepertinya. Rukuk, sujud… semuanya serba serbi. Banyak persamannya.
Tetapi Hayy tidak lama begitu. Dia segera mengesan, bahawa segala perbuatan kaum di negeri Absal itu hanya ilusi. Mereka melakukan ibadah secara kosong tanpa makna. Tidak faham mengapa rukuk, tidak tahu mengapa sujud. Justeru ibadah mereka tidak memberi bekas. Tiada kesan.
Kehidupan penduduk negeri itu sibuk dengan huruf-huruf pada teks aturan agama tetapi mereka kehilangan roh aturan agama itu.
Hasrat Hayy untuk mencari manusia pintar yang boleh menerima dan mempelajari ‘agama tanpa nama’nya itu, tidak berhasil. Lantas Hayy dan Absal mengambil keputusan meninggalkan ‘negeri bertamadun’ itu kerana pada hemat mereka, penduduk di situ tidak lebih dari sekadar makhluk yang umpama binatang yang tidak berakal.
Mengapa?
Seperti binatang… hidupnya juga ada peraturan. Malah jarang sekali peraturan itu dilanggar. Tetapi binatang itu tidak mampu memahami maksud agama Hayy, kerana mereka tiada akal. Manusia yang mengikut peraturan tanpa akal, binatanglah mereka!
“Mereka bergantung sepenuhnya pada meniru pesan Nabi dan tradisi agama, secara melulu tanpa berusaha untuk memahami maksud perbuatan mereka itu”, simpul Hayy.
PEMURNIAN AGAMA
Apa yang dilakukan oleh Ibn Tufayl di dalam novel fiksyennya ini, hampir sama dengan apa yang cuba dilakukan oleh Moses Maimonides kepada Judaism. Agama yang sudah menjadi ritual.
Moses Maimonides
Tetapi saya lebih terkasima dengan kisah Hayy ibn Yaqdhan. Lebih dari ungkapan tentang Robinson Crusoe sebagai novel pertama Inggeris, lebih dari Moses Maimonides yang hidup lebih awal, sezaman dengan Ibn Tufayl. Kerana hakikatnya, kritikan Ibn Tufayl kepada masyarakat Andalus melalui kisah Hayy ibn Yaqdhan dan Absal ini, masih relevan dan kena dengan kesengsaraan jiwa saya melihat kelakuan Muslim hari ini.
Agama menjadi ritual.
Kita semakin beragama tetapi beragama tanpa Tuhan.
BERTUHAN TANPA AGAMA
Terdahulu, saya kasihan melihat Eropah. Kekecewaan mereka terhadap agama Kristian yang penuh kecelaruan dan bertentangan dengan asas akal manusia, ramai yang lari meninggalkan agama.
Tetapi ini tidak bermakna mereka lari meninggalkan Tuhan. Berbekalkan keyakinan kepada Tuhan, mereka masih terus cuba mengenal pasti kehendak-Nya, tanpa agama. Lantas muncullah para saintis seperti Newton dan terutamanya François-Marie Arouet atau lebih dikenali dengan nama penanya Voltaire.
Tentu sahaja jika diukur pada soal hablun minallah, maka mereka tidak teratur malah tidak tentu arah dalam cubaan menjustifikasikannya. Tetapi sari pati di sebaliknya masih ada. Fahaman Deism, yang saya simpulkan sebagai berTuhan tanpa agama, sudah cukup untuk memahamkan kepada kita mengapa tanpa Risalah Kenabian dan Syariat yang jelas, Eropah masih boleh bangkit sebagai sebuah masyarakat yang sistematik dan bertamadun.
CETUSAN SEBUAH REVOLUSI
Liberty… pembebasan
Equality… kesama rataan
Fraternity… persaudaraan
Slogan itu adalah intisari Revolusi Perancis. Ia berperanan besar dalam mendefinisikan kembali apakah itu keadilan bagi sebuah pemerintahan. Keadilan yang menjadi subjek tertinggi turunnya Syariat dari Pencipta alam kepada penghuni alam. Berlaku adil dan kehidupan, dan pemerintahan.
Tetapi sedarkah kita bahawa ketiga-tiga elemen itu, merupakan khasiat sebenar Tauhid dan Syahadah kita kepada Allah?
Apabila kita lafazkan ungkapan La Ilah… ia menjadi teras kepada sebuah pembebasan. Membebaskan diri dari diperhambakan oleh diri yang lain. Jangan lagi ada manusia yang cuba menindas manusia lain.. La Ilah menyuntik pembebasan. Revolusi Perancis melaungkan La Ilah pada ungkapan Liberté, dan kerana mereka kabur dengan Tuhan sebagai rujukan, Liberté itu berjaya mencetuskan pembebasan tetapi dengan pelbagai kesan sampingan.
Akan tetapi seorang Muslim melaungkan La Ilah demi keluar dari penindasan dan perhambaan, lalu diikat kepada IllaLlaah! Bahawa kita keluar dari perhambaan bukan kepada menjadi Tuan. Kita keluar dari perhambaan sesama manusia, kepada pulang menjadi hamba kepada Dia, Allah Tuhan yang Maha Mencipta.
Kerana itu, antara komen awal yang diterima oleh Baginda SAW tatkala melaungkan seruan La Ilaha IllaLlaah ialah “seruan ini dibenci raja-raja yang memerintah”. Sesiapa sahaja yang memahami maksud Kalimah Tauhid itu akan tahu bahawa ia akan melucutkan hak menindas yang dinikmati oleh pemerintah.
Perancis di Eropah bertolak dari Liberté itu kepada égalité atau equality.
Setelah manusia bebas dari perhambaan sesama manusia, barulah mereka bersedia untuk menerima hakikat bahawa setiap insan dilahirkan sama. Tiada lebih arab ke atas ajam, tiada lebih putih ke atas hitam, malah tiada lebih penguasa dan rakyat, kecuali semuanya sama di hadapan peraturan dan undang-undang. Seruan ini membawa kepada deklarasi tahun 1789 bahawa setiap individu adalah sama statusnya sama ada terhadap hak mendapat perlindungan undang-undang, atau hak dihukum oleh undang-undang.
Inilah juga kesan Tauhid bahawa perlindungan sebuah kerajaan bukan hanya kepada orang kaya, malah turut memberi jaminan kepada si miskin. Hukuman jenayah bukan hanya mengerat tangan si miskin, tetapi juga si kaya serta penguasa. Lupakah kita kepada seruan perpisahan Nabi SAW di Hajinya yang satu itu?
“Wahai manusia sekalian! Sesungguhnya Tuhanmu adalah Satu, dan kamu semua berasal dari bapa yang satu, setiap kalian berasal dari Adam, dan Adam terbuat dari tanah, orang yang paling mulia di antaramu adalah mereka yang paling bertakwa. Tidak ada keutamaan bagi orang arab atas orang non arab, dan (sebaliknya) tidak juga bagi orang non arab atas orang arab. Juga tidak ada keutamaan bagi orang kulit putih atas orang kulit merah, kecuali dengan TAQWA”
Kesamarataan ini adalah intipati keadilan. Dengannya manusia memandang manusia lain dengan rasa kebersamaan. Di atas titik itu mereka berupaya untuk hidup sejahtera, bekerjasama di dalam lingkungan ukhuwwah persaudaraan. Biar pun Eropah memilih pelbagai jalan yang sulit untuk mendefinisikan fraternité atau Fraternity itu, namun mereka komited dalam usaha. Daripada Kristianisasi yang berfungsi sebagai tali pengikat di antara sesama manusia, mereka menyeru kepada rasa cinta kepada tanah air, demi sebuah penyatuan.
The storming of the Bastille, 14 July 1789
JELEK TERHADAP EROPAH
Kita mungkin jelek dengan Eropah dan jelek dengan usaha saya membuat perbandingan ini.
“Ada apa dengan Patriotisma ala Revolusi Perancis itu?!”, bermuncung-muncung kita mengkritik.
“Sama rata? Sama rata apa kalau perempuan memakan masa yang panjang dan susah payah yang jerih untuk sekadar membolehkan mereka itu ada hak memiliki harta, dan mengundi? Islam sudah lama begitu”, sombong seorang Muslim terhadap Eropah yang dipandangnya penuh jelek.
Ya, jika mahu diungkit kekurangan Eropah, kekurangan itu memang banyak. Apatah lagi jika cerminnya adalah Islam yang silam. Memang jauh sekali hebatnya Islam berbanding Eropah. Tambah pula jangan dilupa, bahawa Eropah itu berTuhan tanpa agama!
Tetapi busuk-busuk Eropah, biar pun dengan ideologi yang pelbagai, mereka mampu bertolak ansur dengan sentimen masing-masing terhadap sempadan negara. Mereka mampu membentuk Kesatuan Eropah. Kita yang Muslim dengan satu Tuhan, satu Rasul, satu Kitab dan satu Syariat itu, mampukah satu itu menghasilkan Kesatuan?
Kesatuan Arab?
Kesatuan Negara Muslim?
Pencapaian terbaik kita setakat ini ialah bersetuju untuk tidak bersetuju.
Jika tanpa agama, Eropah boleh memperelokkan struktur sosial, ekonomi dan politik mereka, apa perlunya dunia ini kepada Islam? Jangan main-main dengan soalan ini, kerana anda wajib bersedia menjawabnya.
Kita bangga dengan konsep Syura, tetapi sejauh mana pandangan orang ramai diambil kira? Usahkan orang ramai, sejauh mana pandangan pihak lawan di dalam medan sekecil parlimen, diambil kira? Tanya sahaja mana-mana negara Muslim, apakah ada Freedom, Equality dan Fraternity yang boleh diketengahkan untuk menandingi Eropah yang dipandang buruk itu?
KEADILAN SOSIAL ALA SUMER
Lawatan 2006 saya ke Dublin mencetuskan sesuatu di minda.
Standard biasa kebanyakan rumah di Dublin
Saya melihat hampir kesemua projek perumahan dalam lingkungan usia sedekad ini, dibina dengan spesifikasi yang hampir sama. Boleh dikatakan kawasan perumahan di mana-mana sahaja yang sedang dibangunkan, ia mempunyai standard yang sama. Pembeza harganya hanyalah lokasi. Atas dasar ini, sesiapa sahaja yang mahu membeli rumah, akan membeli rumah yang ITU. Lantas di sebuah kawasan perumahan, bertemulah kita dengan seorang doktor berjiran dengan guru, tukang paip, akauntan, jurutera dan ahli perniagaan. Rumah mereka sama.
Jika ada yang kayanya lebih, mungkin dia akan membeli lebih dari satu rumah untuk pelaburan, atau beli sahaja istana lama di kawasan rural yang jauh dari penempatan awam. Lantas tidak wujud istilah rumah kos rendah di sisi rumah mewah. Tidak ketara di bandar besar seperti Dublin, adanya golongan elit ala Sierra Mas yang mustahil bertemu dan bercampur gaul dengan komuniti perumahan kos rendah di Damansara Damai di seberang jalan.
Sungguh….. perkataan apa yang patut diguna di sini? Sungguh Islamik!
Teringat saya kepada struktur seni bina bandar Ur kaum Sumer. Rumah ahli agama dan ahli politik serta rakyat jelata duduk di tempat yang sama. Pusat bandarnya pula ada rumah ibadah mereka. Ia menjadi asas tafsiran pengkaji sejarah bahawa struktur begini sulit untuk berlaku kecuali dengan kuasa agama, agama Tauhid yang memberikan equality kepada sesama manusia.
Hampir semua tamadun purba ada kesan wahyu dan kenabian padanya, biar pun sulit untuk kita buktikan secara jazam. Tetapi Tamadun Eropah nyata berbeza. Tiada nabi yang diutus untuk mereka selain Nabi Muhammad SAW sebagaimana kita. Tetapi bagaimana kesan yang hanya mampu dicetus oleh sari pati Tauhid boleh kelihatan dalam banyak aspek kehidupan Eropah hari ini?
Soalan ini terbuka kepada perbincangan.
Equality di Eropah bukan mainan ceramah atau tulisan, ia adalah nilai teras justeru dapat dilihat dalam polisi awam dan dinikmati oleh semua.
Dublin dan Eropah itu tidak punya Islam. Tetapi mereka ada nilai Islam. Eropah berTuhan tanpa agama.
MUSLIM BAGAIMANA?
Kita ada serba serbi.
Rujukan kita lengkap.
Bukan sahaja lengkap, malah jangan dicabar kesahihannya. Persenjataan ilmu kita amat kukuh untuk mempertahankan ketulenan agama kita.
Tetapi, dengan agama yang sahih itu… apakah terbit nilai yang sebenar? Apabila Allah SWT memerintahkan kita agar berlaku adil, dapatkah manusia lekeh setinggan dan manusia elit di puncak bukit menikmati keadilan yang sama?
Bagaimanakah layanan pemerintah di negara-negara Muslim terhadap rakyatnya? Terhadap pembangkang di dalam sistemnya? Terhadap kebolehan bersuara memberikan pandangan? Adakah ruang untuk seorang rakyat biasa di atas kerusi roda masuk ke parlimen untuk menyoal pemimpin tertinggi, seperti nikmat hari Rabu di sebuah Parlimen tanpa Islam bernama Westminster?
Jika semua itu tidak wujud pada amalan, di manakah silapnya?
Hayy ibn Yaqdhan akan lebih terseksa jika ziarahnya sampai ke kehidupan kita hari ini.
Agama kita hanya ritual. Bukan sahaja ritual pada sujud dan rukuk, malah ritual dalam segala-galanya. Tanpa makna.
Kita tegas menentang riba sebagaimana yang diperincikan oleh teks agama, tetapi alternatifnya sama menindas. Riba hilang, tetapi penindasan dan tekanan tetap ada.
Kita solat, berpuasa, berzakat dan berhaji, tetapi sejauh mana solat menjadikan kita ini sujud dan tunduk di luar solat? Sejauh mana puasa membebaskan diri dari perhambaan kepentingan peribadi, kepada mengutamakan kepentingan yang Maha Tinggi? Sejauh mana zakat kita menjadikan komuniti Muslim sebagai komuniti yang saling menjaga kebajikan si miskin yang tiada status sosial? Sejauh mana haji kita menjadi kemuncak Freedom, Equality dan Fraternity?
Kita berusaha keras untuk mensahihkan penampilan luaran ibadah kita, tetapi pedulikah kita kepada roh ibadah itu sendiri?
Ia bukan soal Sufi Tasawwuf atau falsafah putar belit… ia adalah maksud beragama sebagai jalan berhubung dengan Tuhan. Apakah kita benar-benar berhubung dengan Allah melalui solat kita yang sahih itu? Jika kita berhubung, mengapa Solat kita tidak melahirkan manusia hamba? Lebih ramai yang sahih solatnya, lebih ramai yang berkelakuan seperti tuan, bukan hamba seperti yang sepatutnya.
Itu dalam soal ibadah individu.
Bagaimana pula dalam soal yang lebih besar?
RITUAL DALAM BERPOLITIK
Tunuslu Hayreddin atau Khayr al-Din al-Tunisi, bekas presiden Tunisia yang juga Menteri Utama Khilafah Othmaniyyah di zaman Sultan Abdul Hamid II, sudah mengingatkan kita bahawa keupayaan Eropah untuk maju, misalnya di zaman Charlemagne, bukanlah kerana Kristiannya mereka. Tetapi kemajuan itu dicapai atas komitmen mereka kepada JUSTICE, keadilan!
Inilah yang mesti disedari oleh pemerintah Muslim, bahawa mereka harus sedar bahawa maksud Islam dalam pemerintahan, ialah pada menegakkan keadilan. Tidak cukup menjadi pemerintah Muslim, jika pemerintahannya kosong dari komitmen kepada keadilan.
Apa maknanya tertegak sebuah pemerintahan yang diwartakan sebagai pemerintahan al-Quran dan al-Sunnah, jika ia jauh dari komitmen terhadap keadilan? Keadilan adalah akhlak sebuah kerajaan yang lurus.
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (Al-Nisaa’ : 58)
Sebagaimana Hayy ibn Yaqdhan kecewa dengan penduduk negeri Absal yang ‘menyembah teks’ kerana berkelakuan seperti haiwan tanpa akal, saya juga terus berkongsi kekecewaan dengan golongan agama yang berkelakuan yang sama hari ini.
SALAF DAN KHALAF
Salaf dan Khalaf berkongsi masalah yang sama. Fazlur Rahman pernah memberikan komen tentang gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab, bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab mahu membasmi taqlid dari masyarakat, tetapi beliau telah membuang instrumen terpenting untuk seseorang keluar dari taqlid, iaitu akal. Lantas mereka yang mengikut manhaj Muhammad bin Abdul Wahhab berpindah dari satu jenis taqlid, kepada taqlid yang lain.
Bagi khalaf pula, biar pun mereka tegas mempertahankan gagasan pembelajaran aqidah melalui Ilmu Kalam, tetapi sebahagian mereka turut bermusuh dengan seruan akal. Apakah ada sebab untuk Sifat 20 dipertahankan, jika dalam masa yang sama kita menolak fungsi akal dalam memahami agama.
Lantas kedua-dua golongan ini terus berbalah di sepanjang sejarah, atas kesepakatan mereka menolak faculty of reason. Jika ada yang cuba keluar dari dua kelompok ini, segera pula dibungkus dengan plastik berjenama Muktazilah! Habis cerita…
SIASAH
Soal pemerintah yang melakukan kesilapan dan kesalahan, ia adalah sesuatu yang lumrah. Ia terbit dari sifat asli manusia. Kerana itu sains politik diletakkan sebagai cabang disiplin sains sosial (sains kemanusiaan). Apa sahaja ideologi yang menjadi dasar sesebuah negara, ia akan memperuntukkan kaedah check and balance untuk mengawal keadaan ini. Biar pun pemerintah tidak gemar dengan pembangkang, tetapi untuk menafikan peranan pembangkang sebagai pelengkap kepada sebuah sistem, belum ramai yang sampai ke situ, kecuali pemerintah maha diktator.
Tetapi penyembahan teks tanpa peduli kepada maksud Syariat Allah, menjadikan lahir segelintir ilmuan agama lebih rela melihat berleluasanya kemungkaran, berbanding usaha membetulkan keadaan.
Sebagai suatu kajian kes rujukan, munculnya golongan ni atas pegangan mereka kepada teks Sunnah yang menyebut larangan menegur pemerintah secara terbuka, mereka mematuhinya tanpa peduli kepada apakah maksud di sebalik perintah itu. Apa yang mahu dipertahankan ialah, jangan ditegur pemerintah itu. Baik di parlimen, atau di mana sahaja.
Soal maksud pemerintahan untuk menegakkan keadilan terhadap rakyat, semacam terlalu murah untuk diberi perhatian.
Lantas Eropah tanpa agama, lebih telus dan komited dalam melaksanakan keadilan kepada rakyatnya, berbanding negara mahu pun negeri al-Quran dan al-Sunnah. Lihat nasib pembangkang di negera dan negeri itu, lihat kekebalan pemerintah di negara dan negeri itu? Di situlah suburnya maksiat. Mungkin bid’ah rakyat rancak dihapuskan, tetapi maksiat pemerintah dan ketidak telusan dalam pemerintahan, dibiarkan begitu sahaja kerana kepercayaan bahawa pemerintah tidak boleh ditegur, bersabar ke atas maksiat mereka adalah jalan Taqwa.
Sesungguhnya ini adalah kepercayaan membuta tuli terhadap teks yang diangkat sebagai subjek sembahan, menurut tafsiran Ibn Tufail di dalam novel kritik sosialnya melalui watak Hayy ibn Yaqdhan dan Absal. Apa yang mahu dicapai oleh seruan Baginda SAW langsung tidak dipeduli, Apatah lagi seruan oleh Rasul yang sama terhadap tuntutan kalimatul haq ‘inda Sultan Jaa’ir.
Ketika semua ‘agama’ dan ideologi menerima bahawa kestabilan negara mesti dijaga, kerajaan mesti berlaku adil, dan kesilapannya mesti diperbetulkan, melalui pelbagai sistem yang ada, tiba-tiba hanya ada satu versi sahaja yang muncul memberitahu sebaliknya. Dan ia muncul atas nama al-Sunnah. Bahawa mengkritik pemerintah ialah suatu dosa!
Dosa warisan puak Khawarij!
Jika Hayy ibn Yaqdhan masih hidup, mungkin komennya semasa mendarat di semenanjung ini ialah… this is a pseudo religion, agama saduran!
Tidak hairanlah, Muhammad Abduh pergi ke Paris dan pulang ke Kaherah, membuat kesimpulan bahawa, “aku ke Paris dan kutemui Islam tanpa Muslim, dan aku pulang ke Kaherah dan kutemui Muslim tanpa Islam!”
Kita bersolat sekadar ritual.
Kita berzakat sekadar ritual.
Kita berpuasa secara ritual.
Kita berhaji secara ritual.
Malah kita berekonomi secara ritual, dan malang sekali… kita juga berpolitik secara ritual.
Eropah bertuhan tanpa agama, Muslim beragama tanpa Tuhan. Eropah sesat menuju Akhirat, Muslim muflis dunia dan nasibnya juga belum tentu di Akhirat. Lantas agama kita kosong dari nilai… hanya ritual seperti kepatuhan lembu terhadap naluri laparnya yang menuntut rumput.
Yang enggan hidup dengan akal itulah haiwan ternakan, bal hum adhall!
0 comments:
Post a Comment