Pages

RSS

Selamat Datang ke Blog Saya
Harap anda 'pening' membacanya.

Wednesday, February 15, 2012

KASIHKAH MEREKA KELAK?

Saya tak nafikan saya serabut kepala bila orang bertanya begini (walaupun saya tidaklah tergugat dengan pertanyaan ini)

"Bila nak berumah?"

"Bila nak kasi kad?"

"Bila plan?"

"Bila bila dan bila?"

Suatu jawapan yang masih tidak pasti - berliku berduri bengkang bengkok

Selalu saya menjawab "Tunggu habis Master dulu" atau kalau mak ada bersama saya akan tanya "Cuba tanya mak dia nak ada menantu bila". Dan pastinya mak akan tersenyum sebab dia tahu jawapan saya pun tak pasti kerana saya tak pernah fikir dengan serius. Dan bila adik-adik sepupu juga kerap bertanya "Bila Abg Mad nak kahwin?", saya hanya mampu tersenyum dan menjawab dalam hati "Ada isu yang lebih besar yang perlu Abg settle kan terlebih dahulu adikku sayang". Belah Mak, saya merupakan cucu sulung Arwah Tok Wea dan saya ada 38 orang adik-adik sepupu yang macam-macam ragam, melengkapkan keluarga kami yang sudah sedia akrab didikan terus Tok Wea sejak Tok Ayah meninggal 34 tahun dulu. Pernah juga saya terfikir nak kahwin awal sebab nak Tok Wea pegang cicit dia, tapi sekarang memang dah tak kesampaian sebab Tok Wea pun dah tak ada. Dan Tok Wea bukanlah jenis yang suruh cepat-cepat, pernah dia kata pada saya, jaga diri dulu sebelum sibuk nak jaga orang lain - JELAS katanya manusia lain tu bukan sepatutnya diletakkan sebagai priority sebelum sampai waktunya.

Dan teman-teman yang lain juga, saya pasti bila kita menjejakkan kaki ke umur 20an, soalan-soalan yang sama akan kerap kedengaran di gegendang telinga kalian dan sekiranya soalan-soalan tersebut boleh kita tangkis seperti Lee Chong Wei menangkis hantaran bulu tangkis Lin Dan, sudah pasti kita juga akan berbuat demikian.

Apa persoalan yang bermain di fikiran saya bila sebut tentang isu ini? Saya memerhati, saya mentafsir dan saya cuba menyelami bila manusia yang dekat dengan saya mendirikan rumah tangga, kasihkah mereka pada mertua mereka? Banyak yang kasih dan banyak juga yang tak berapa nak kasih. Banyak yang sangat sukar even nak bertanya khabar mertua setelah bertahun 'meminjam' seorang anak dari ibu dan bapa mereka.

Selalu Mak pesan, nak kahwin, kahwinlah dengan orang yang dekat. Dan saya faham dia nak orang yang dekat dengan dia. Yang selalu balik jumpa dia bila di hujung usianya. Yang boleh dia ajak bercerita tanpa sempadan. Mak, orangnya suka berkawan. Pernah saya bercerita tentang guru-guru saya di sekolah dan pasti jika ketemu dengan guru-guru saya, dia akan menegur mereka. Sikap yang Arwah Tok Ayah ajar - berbaik dengan orang ramai yang diwarisi Mak.

Dan bila saya kerap kali menjaga Tok Wea di hospital 5-6 tahun kebelakangan ini, kerap juga soalan timbul di fikiran, sanggup ke bakal isteriku nanti menjaga Mak & Ayah andai mereka sakit kelak? Bila soalan-soalan ini timbul, acap kali air mata bergenang. Ya Allah, janganlah temukan aku jodoh dengan seseorang yang akan buat kasihku jauh dengan Mak & Ayah.

Dan saya juga bertanya dengan diri sendiri - kasihkah aku pada mertuaku kelak?Mampukah aku mengasihi mereka?Berat nak jawab soalan ni.Kasih pada anak mereka harus seiring dengan kasih pada mereka.Tiada lain yang kita dambakan kecuali Redha dari ibu dan ayah.

Dan soalan ini saya masih belum temui kepastian, hanya segala saya serahkan pada Tuhan Yang Maha Esa moga segalanya berjalan dengan baik kelak. Walaupun dah bekerja dan ada duit sendiri, terasa kasih Mak Ayah itu penting buat saya. Ada ketenangan bila bersama dengan mereka yang terkadang tak mampu digambarkan dengan kata-kata.


Justeru itu mungkin kalian juga boleh bertanya dengan diri sendiri - kasihkah mereka kelak? :)

Moga segalanya baik buat kalian insyallah.

Selamat pengantin baru teman-teman ~

Kerana sekali cinta, aku tetap cinta ~

0 comments: